02 Jun 2012

~Zikir Dan Istighfar Rejab~

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ



اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menganjurkan umatnya agar memperbanyakkan istighfar. Maka banyakkanlah beristighfar pada Rejab ini kerana setiap saat dalamnya Allah SWT menyelamatkan seorang daripada api neraka.

Dari Ibnu Abbas r.a., Rasulullah SAW bersabda: “ Sesiapa membaca kalimah berikut, pada bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan di antara waktu Zuhur dengan Asar; nescaya disuruh dua malaikat untuk menghapuskan catatan kejahatan.”
اَسْتَغْفِرُاللهَ الْعَظِيْمُ الَّدِىْ لآ اِلَهَ اِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّوْمُ وَاَتُوْبُ اِلَيْهِ تَوْبَةَ عَبْدٍ ظَالِمٍ لاَ يَمْلِكُ لِنَفْسِهِ ضَرًّا وَلاَ نَفْعًا وَلاَ مَوْتًا وَلاَ حَيَاةً وَلاَ نُشُوْرًا.
Daku memohon ampun kepada Allah yang Maha Agung yang tiada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Hidup Lagi Maha Mengurus! Daku bertaubat kepada-Nya selaku taubatnya seorang hamba yang banyak dosa yang tiada menguasai akan dirinya dan tidak mampu membuat, menolak mudharat dan manfaat serta tidak dapat menguasai kematian, hidup dan kebangkitan.

Bacalah zikir-zikir berikut selepas Solat Fardhu Subuh dan Asar:


1. Tahlil, Takbir dan Istighfar:

2. Tiga Tasbih; Setiap satu, 100 kali :
3. Tasbih Pada Setiap Sepuluh Hari Rejab :

4. Istighfar Tauhid; 1 ~ 30 Rejab :
5. Berselawat : 
6. Beristighfar Pagi dan Petang :-
ISTIGHFAR
Rasulullah saw menganjurkan umatnya agar memperbanyakkan istighfar. Sesiapa meminta ampun (beristighfar) pada pagi dan petang 70 atau 100 kali di dalam bulan Rejab, diharamkan tubuhnya daripada api neraka. Dan banyakkanlah beristighfar pada Rejab kerana pada setiap saat dalamnya Allah menyelamatkan seorang daripada api neraka.

1. Penghulu Istighfar adalah di antara istighfar yang diamalkan Baginda sepanjang Rejab :

2.  Istighfar paling baik dalam bulan Rejab:

**info ini ana kongsikan dari blog  http://shafiqolbu.wordpress.com/
moga ada manfaatnya untuk kita semua, jika tidak boleh diamalkan semua ambillah sedikit. InsyaAllah, Allah menilai hamba-Nya yang ikhlas mengharapkan redha dari-Nya. Walllahua'lam.

01 Jun 2012

~MeNCaRi BeRKaT ReJaB, SYaaBaN & RaMaDHaN~


     
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Perkongsian untuk semua.MOga ada manfaatnya. InsyaAllah.

           Setiap bulan mempunyai keistimewaan tersendiri dan kerana itu bagi yang mengetahui, tidak sabar menanti kehadirannya untuk mengumpul sebanyak mungkin pahala. Sesungguhnya Allah menganugerahkan rahmat kepada hamba-hamba-Nya dalam bulan berkenaan. Rejab mulia dengan Israk Mikrajnya, Syaaban dengan malam Nifsu Syaabannya manakala Ramadhan dimuliakan dengan Lailatul Qadarnya. Antara rahmat Allah yang terbesar kepada hamba-Nya adalah dengan melipatgandakan pahala setiap amalan yang dilakukan dalam bulan itu.
           Wahai Muslimah sebagai hamba-Nya, jadilah insan yang tamak dalam urusan amal ibadat ini. Kautlah sebanyak mana keuntungan dan kemuliaan kerana ia datang hanya setahun sekali. Janganlah mengambil sikap menangguh dalam urusan amal ibadat kerana terlalu sibuk dengan urusan dunia. Buangkan dalam fikiran masih ada masa lagi tahun akan datang. Ingatlah, masa sentiasa bergerak dan tidak akan berpatah balik dan kita tak pasti tahun depan kita masih hidup, sihat atau tidak sibuk.
         Lihatlah realiti hari ini, tawaran Allah kurang mendapat tempat di hati kita. Hanya hati yang disinari dengan sinaran iman dapat menghargai tawaran Allah yang abadi ini. Manakala hati yang sudah terpaut dengan kebesaran dunia lebih terpikat dengan tawaran murahan yang bersifat sementara dan tidak kekal. Tidak dinafikan ganjaran syurga yang ditawarkan adalah perkara ghaib tetapi penurunan harga barang seperti pakaian jelas terlihat. Oleh kerana kita lebih mengutamakan perkara yang Nampak daripada yang ghaib, maka sudah semestinya kita cenderung memilih tawaran dunia daripada akhirat. Kerana itu tawaran Allah menjadi amat kecil sehingga tidak berdaya dilaksanakan. Sebenarnya, disinilah ujian menilai keimanan kita terhadap perkara ghaib. Berikutan itu, fadhilat atau kelebihan Rejab yang kita baca atau dengar seolah-olah satu dongengan yang tidak bermakna dan tidak sikit pun memberi kesan di hati.
    Apabila sikap begini terpahat di dalam hati, tidaklah mampu untuk merealisasikan sesuatu tindakan. Bahkan di dalam Al-Quran, Allah menempelak golongan ini seolah-olah ada mata tetapi tidak dapat melihat, ada telinga tidak dapat mendengar dan ada otak tetapi tidak dapat memikirkan. Allah Maha Melihat atas apa yang kita lakukan. Allah Maha Mendengar atas apa yang kita ucapkan. Allah Maha Tahu atas apa yang kita lintaskan di dalam hati. Allah memberi ganjaran atau balasan berdasarkan sejauh mana kita berusaha menghampirkan diri kepada Allah. Jika kita bersungguh-sungguh beramal mencari keredhaan Allah, Allah akan memberi balasan setimpal dengan usaha yang disumbangkan. Sebaliknya jika di dunia kita tidak begitu ambil pusing akan urusan ibadat, maka sudah tentu Allah tidak akan mempedulikan perihal hidup kita di dunia dan akhirat.
      Antara amalan-amalan yang dijanjikan limpahan pahala dan keberkatan ialah: Amalan waktu siang ialah puasa, solat sunat, tasbih, selawat, membaca Al-Quran, istighfar, sedekah dan seumpamanya. Manakala waktu malam diisi dengan solat tahajud, solat sunat tasbih, zikir, tasbih, selawat, baca Al-Quran dan istighfar. Sepanjang bulan Rejab, Allah melipatgandakan pahala dan keampunan serta mengangkat darjat di dalam syurga. Selain berpuasa, umat Islam digalakkan beristighfar. Bacalah doa istighfar Rejab yang banyak dinukilkan di dalam kitab-kitab. Allah melimpahkan keampunan dan rahmat yang tidak diberi pada bulan-bulan yang lain. Amalan bersedekah juga dibalas dengan ganjaran yang banyak. Dicatatkan bahawa barangsiapa bersedekah dalam bulan Rejab diberi ganjaran setiap sehelai bulu roma ditubuhnya dengan 1000 kebajikan, diangkat 1000 darjat dan dihapus 1000 kejahatan.
     Bersabar di atas segala kesusahan atau bala. Sekiranya kita bersabar atas segala kesusahan yang ditimpakan, Allah akan meningkatkan darjat kita sebagai manusia. Sentiasa bersyukur dalam setiap yang dikurniakan. Diberi senang kita bersyukur, ditimpakan kesusahan kita bersabar. Ada wang atau tidak sama sahaja kerana itu semuanya ujian. Sungguh banyak sekali keterangan ulama mengenai ganjaran dan kebesaran bulan Rejab. Yang lebih penting bukan setakat menghuraikan kelebihan, tetapi sejauh mana kita mengamalkan atau mengambil peluang daripada tawaran Allah ini. Adakah tindak balas kita sama hebat ketika mendengar ada jualan murah dengan tawaran Allah yang menjanjikan kemuliaan di bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan. Tawaran yang tiada tolok bandingnya. Tawaran yang kekal abadi serta menjamin kebahagiaan di dunia dan akhirat.
          Sehubungan itu, buatlah ujian pada diri sendiri dengan melihat sejauh mana kita memberi respon terhadap tawaran ukhwariah dan apakah respon kita terhadap tawaran dunia. Bandingkan kecenderungan atau kemahuan diri kita apabila berhadapan dengan kedua-dua tawaran ini. Yang mana lebih menggiurkan atau menyelerakan? Dari sini barulah kita tahu pendirian dan sikap kita. Tepuk dada tanyalah iman. Hanya diri sendiri yang mengetahui rahsia peribadi. Bertolak dari sini, barulah kita memperbetulkan hala tuju yang perlu diambil untuk keselamatan diri kita di dunia dan akhirat.
       Sesudah itu barulah kita boleh menaruh harapan dalam perjalanan bertemu Yang Esa. Harapan kita biarlah kita untung dan bahagia di dunia dan akhirat. Sama-samalah kita berusaha kea rah memperbaiki hidup sepanjang Rejab ini supaya Allah menambahkan ketaqwaan dan kekuatan kita untuk melakukan amal ibadat dalam bulan Syaaban dan Ramadhan yang bakal menjelang. Semoga kita berpeluang bertemu dan berada dalam bulan yang paling mulia- Ramadhan dan semoga kita sentiasa mendapat keredhaan Allah. Ameen..

Oleh: Mashitah Abd Rahman (Majalah NUR)       

28 Mei 2012

~Di MaNa MeReKa Di HaTi KiTa?~


Assalamualaikum warahmatullah. Salam ukhuwwah dan salam kasih sayang. Alhamdulillah, kita masih mampu menempuh hari ini yang akan cuba kita jadikan supaya lebih baik dari semalam. Ana ingin kongsikan satu artikel mengenai apa yang berlaku di Syria. sekiranya kita mengikuti perkembangan, ternyata saudara kita makin tercengkam di sana. Apa yang kita lakukan, mungkin kita hanya mampu berdoa, dan menghulurkan sedikit bantuan yang kecil untuk membantu atas tanda kasih sayang sesama saudara. 
Namun, dalam keprihatinan kita mengikuti dan mendoakan saudara kita di Syria, apa yang berlaku hujung minggu lalu sangat rasa tersayat hati. Saat saudara kita sedang menderita, kita di bumi Malaysia yang mengangkat nama sebagai Negara Islam meraikan Hari Belia dengan aktiviti yang entah apa-apa. Walaupun mungkin ada sudut positif yang diambil kira, namun terlalu banyak negatif yang dilihat. Generasi belia bagaimana yang sebenarnya mahu di corak. Alangkah baiknya jika kewangan yang begitu banyak dialirkan kepada saudara kita yang sedang perit dan menderita disana...
Moga Allah mengampuni dosa dan kesalahan kita atas ketidakhirauan kita pada nasib saudara kita..
artikel ini sudah lama, tapi mungkin dapat membantu siapa yang belum tahu apa yang berlaku..insyaAllah.

Dipetik dari Myibrah.com

Sedikit sedutan dan berita di Syria. Sangat jarang kita dengar perkara yang sebenarnya berlaku di sana sekarang. Semoga rakyat Syria yang berjuang syahid di jalan Allah.
Syria merdeka dari penjajahan Perancis pada 1945, dan telah diperintah oleh anak bangsa Syria sendiri sehingga zaman Hafez Al-Assad yang telah memerintah selama 32 tahun dan diikuti oleh anaknya Basyar Al-Assad yang telah memerintah selama 11 tahun. Syria telah menjadi negara yang diperintah oleh diktator.
Hafez Al-Assad berpegang pada Syiah Nusairiyah, yang menyimpan perasaan dengki terhadap rakyatnya daripada MUSLIM SUNNI, yang mencaci dan menghina Saidina Aishah dan Ummahatul Mukminin radhiyallahu anhum, diharamkan sembelihan mereka, mereka melakukan kejahatan yang pelbagai, mereka tidak solat di masjid kita (ASWJ).
Kerajaan Syria didokong oleh Iran yang terkenal dengan Syiahnya, bahkan Hafez sendiri merupakan pelampau Syiah.
Syeikh Hassan seterusnya menceritakan tentang Syria yang mana 6 peratus darinya merupakan Syiah Alawie, 10% darinya beragama Kristian dan 84% daripada rakyatnya beragama Muslim Sunni. Iran mempertahankan tindakan ganas regim Hafez yang membunuh rakyatnya sendiri, begitu juga Hizbullah di Lubnan juga menyokong tindakan Hafez Al-Assad.

BERMULA ZAMAN AYAHNYA- Hafez Al-Assad- konflik berdarah di Hama pada tahun 1982 yang berlaku selama 27 hari mengorbankan hampir 46000 ribu penduduk Hama. Peristiwa ini menyebabkan rakyat Syria mendiamkan diri dari politik sekian lama.
Rakyat mula kembali bangkit terhadap kezaliman yang berlaku semenjak 8 bulan yang lalu.
Permulaan revolusi berlaku di Hama, kemudian merebak ke bandar-bandar lain seperti Dar’aa, Hauran, Halab bahkan sehingga ia berlaku di 157 tempat di Syria.

PUNCA KEBANGKITAN
Ada sekumpulan kanak-kanak seramai lingkungan 28 orang bermain-main dan telah menulis sesuatu di dinding sekolah mereka. Apa yang ditulis oleh kanak-kanak ini ialah RAKYAT MAHU JATUHKAN KERAJAAN. Slogan ini telah dilaungkan di negara2 yang berlaku kebangkitan rakyat. Pasukan keselamatan Syria telah menangkap kanak-kanak ini. Mereka telah diseksa dengan cara mencabut kuku-kuku kaki dan tangan mereka. Salah seorang kanak2 itu telah meninggal dunia dan keluarganya meminta mayat kanak2 itu serta kanak2 lain dilepaskan. Kerajaan telah meletakkan syarat dimana bila mahu lepaskan kanak2 itu, mereka perlu memberi wanita2 dikalangan mereka untuk dinikahi oleh puak2 kerajaan Syria ini ( satu bentuk penghinaan), maka berlakulah kebangkitan di Syria.
BENTUK KEZALIMAN YANG BERLAKU SEPANJANG TEMPOH SAURAH
1-Dalam masa 42 hari telah terbunuh Syahid seramai 4000 orang rakyat Syria.
2-39000 orang telah cedera, mereka tak dirawat dan dibiarkan sahaja.
3-Satu peristiwa di mana seramai 19 orang doktor di hospital dan 40 orang pesakit di hospital tersebut dibunuh tentera Assad di wilayah Doma.
4-9000 tahanan ditahan.
5-413 orang telah syahid di dalam penjara.
6-Wanita2 diculik dan dibawa ke tempat yang tak diketahui. Wanita ini telah dirogol di hadapan abang2, ayah, anak2, dan ahli keluarga mereka. Sebelum dirogol, mereka digari terlebih dahulu.
7-Seorang ukhti bernama Zainab Al-Husni dari Hims, di Madinah Khalid bin Al-Walid. Beliau telah ditangkap dan mahu diperkosa oleh tentera yang menangkapnya. Tetapi beliau melawan. Lantas beliau dibunuh dan telah dipotong 4 KERAT.. Anggota badan yang dikerat itu dimasukkan ke dalam plastik, lalu dicampakkan ke hadapan keluarga beliau.
8-Mengucapkan takbir merupakan sesuatu yang tidak disukai.
9-Menyuruh tukar Laa Ilaha Illah Basyar Asad.
10-Basyar Assad juga daripada kelompok Syiah yang terkeluar daripada Islam dan mengharuskan untuk membunuh Muslimin Sunni..84% daripada posisi kepimpinan Rejim Basyar Assad dipegang oleh kaum keluarga mereka yang terdiri daripada 3 keluarga besar, 6% daripada posisi tersebut pula daripada kaum Ajam dan 10% lagi daripada golongan Kuffar.. Tiada posisi bagi Ahlus Sunnah wal Jamaah..Kezalimannya terhadap wanita dan kanak2 juga terlalu dahsyat melebihi Israel..rakyat2 Sunni dibunuh sesuka hati tetapi walau seorang Israel pun tidak ditumpahkan darah..hasbunallahu wa neemal wakeel..

#RAKYAT YANG KELUAR BERDEMONSTRASI AKAN MANDI DAN BERWUDHUK KERANA MEREKA YAKIN TIDAK AKAN KEMBALI LAGI…
FATWA ULAMA TENTANG SAURAH DI SYRIA
Rabitah Ulama Syria yang diasaskan oleh Dr Ali As-Sobuni dan Rabithah Ulama Sedunia telah berfatwa kepada rakyat Syria agar mempertahankan rumah mereka daripada keganasan tentera walaupun dengan menggunakan pisau dengan berdalilkan hadis berikut;
#”Barangsiapa terbunuh mempertahankan hartanya, maka dia syahid ; barangsiapa terbunuh mempertahankan ahli keluarganya, maka dia syahid; atau mempertahankan agamanya, maka dia syahid” -hadith ini dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya (2/275) An-Nasaie dan Tirmidzi dan disahihkan oleh Imam Al-Albaniy dan Ahmad (1652 dan 1653) dari jalan Said Bin Zaid dan sanadnya Shahih.

PERKARA TERBARU.
1-Masa depan kebangkitan ini begitu baik. ia berterusan dan semakin kukuh. Lebih 30000 tentera yang terdiri dari pegawai telah bersama rakyat. Mereka ini telah melindungi orang2 yang turun berdemo kerana tidak tahan melihat kekejaman rejim Basyar Assad ini yang sesuka hati membunuh rakyatnya sendiri.
2-Pertubuhan2 Arab (Liga Arab) telah mengambil pendirian tentang apa yang telah Syria lakukan terhadap rakyatnya. Mereka tidak membenarkan pegawai2 Syria memasuki tanah mereka. tetapi ada dua negara yang tidak berpendirian sedemikian iaitu Iraq dan Lubnan. Iran tidak berpendirian sedemikian kerana pemimpin Syria merupakan orang Syiah dan mereka selalu meminta pertolongan dari Iran kerana Iran merupakan negara Syiah.
3-Syeikh Yussuf Al-Qaradhawi telah mengeluarkan fatwa bahawa mereka yang terbunuh dalam keadaan yang sebegini adalah seorang yang SYAHID….
4-95% ulama Syria telah bersama dalam kebangkitan rakyat ini.
5-19% negara-negara Arab telah mewajibkan sekatan politik dan ekonomi ke atas Syria.

KENAPAKAH KITA KURANG MENGETAHUI DENGAN JELAS ISU SYRIA?
1- Gambaran tentang Syria agak tidak jelas bila dijelaskan oleh media2, kerana itu Syeikh Hassan dihantar bagi menjelaskan apakah sebenarnya yang berlaku di SYRIA..
2-Media2 barat sebenarnya tidak mahu manusia dunia tahu akan apakah sebenarnya yang berlaku di Syria. Lalu mereka telah memutarbelitkan fakta.
3-Syeikh Khalid Hasan bercerita, ketika beliau di Indonesia dan bertemu dengan seorang teman, teman itu berkata dia lihat di akhbar bahawa ramai orang menyokong Kerajaan Syria. TV Indonesia juga menyiarkan bahawa ramai yang menyokong Kerajaan Syria yang dipimpin oleh Basyar Al-Assad. Apa yang berlaku sebenarnya ialah, kerajaan telah mengumpulkan pegawai2nya supaya berkumpul dalam erti kata lain mahu menunjukkan kepada dunia bahawa Basyar Al-Assad ini mempunyai ramai yang menyokong beliau.
4-Jangan terpedaya dengan kenyataan2 yang kita dengar dari ahli intelektual Syria dan ahli politik Syria bahawa yang Syria menentang Israel. Tetapi, sejak zaman ayah Basyar Al-Assad lagi (Hafez Al-Assad) tidak satu peluru pun yang singgah ke tanah Israel. Bahkan Tanah Tinggi Golan yang terletak di Tanah Syria telah dikuasai oleh Israel.
5-Kita banyak tidak tahu tentang Isu Syria selama ini sebab media telah dikawal oleh pihak rejim Basyar Assad. Manakala sumber media lain tidak dibenarkan memasuki Syria untuk membuat liputan. Segala gambar dan video yang menjadi bahan bukti adalah hasil rakaman daripada para pendemonstrasi yang bertekad untuk merakam sendiri kezaliman tersebut dan kebanyakan daripada mereka telah menemui syahid. Sebahagian rakaman lain telah dijual oleh tentera rejim Basyar Assad dengan harga 100 dolar. Syeikh Dr Khalid Hassan Al-Hindawi merupakan delegasi khas Syeikh Dr Yussuf Al-Qaradhawi ke Asia Tenggara untuk menyampaikan dan menyebarkan berita sebenar.

PERANAN KITA SELAKU SEORANG MUSLIM & SELAKU SEORANG MANUSIA
-Mendoakan saudara kita di Syria
-Menghulurkan bantuan untuk mereka dari segi kewangan
-Menyebarkan berita sebenar tentang apa yang berlaku di SYRIA.

Ingatlah Saudaraku, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa yang tidak mengambil tahu hal orang Islam yang lain, maka bukan dari kalangan KAMI”
dan ingatlah selalu akan tempat kembali bagi mereka yang zalim:
Kalam Saidina Ali KWJ; “Sesungguhnya negeri yang batil itu sejkejap sahaj sedangkan negeri yang benar itu tetap sehingga datangnya kiamat”.
Firman Allah Taala dalam Surah Al-Isra’ ayat 81;
“Dan katakanlah :Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufurdan syirik) ; sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap”.
Firman Allah dalam Surah Ar-Ra’d ayat 17 :
“adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan.”
 These are not bags of rice... These are the body bags of children Bashar Al Assad murdered 2 days ago.... Please pray for these people, they are our family :(

21 Mei 2012

~aHLaN Wa SaHLaN..MaRHaBaN Ya RaJaB~


      Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh. Salam ukhuwwah dan salam kasih sayang. InsyaAllah, beberapa jam lagi kita akan menjejak 1 Rejab. Makin hampir dengan Ramadhan. Ya Allah, sampaikan kami kepadanya..Walau dilihat jumlah jam itu kurang dari 10 jam, tetapi ianya belum pasti kita akan bertemu Rejab. Kerana mati itu datang tanpa kita undang. Harapnya saat kematian merupakan saat paling baik untuk kita. InsyaAllah...

       Memasuki 3 bulan yang disebut-sebutkan fadhilatnya kini, makin banyak fadhilat-fadhilat yang kita dengar. Keluar pula larangan dari bijak pandai, itu semua Bida'ah, hadis Palsu dan sebagainya lagi. Namun di pihak kita sebagai orang awam yang sedang memperbaiki diri sebaiknya. Beramalah seperti biasa, tingkatkan amalan untuk terus dekat dengan-Nya. Bukan mengejar fadhilat semata-mata. Analoginya mudah, kawan kita minta kita siapkan kerja dengan janji, ada habuan akan diberikan. kita yang sangat teruja dengan tawaran itu, terus melakukannya. Tetapi, selesai kerja kita lakukan tapi kita tak dapat apa yang telah dijanjikan. Sedangkan kita melakukan kerja itu dengan penuh harapan akan dapat apa yang dijanjikan. Begitu juga kalau kita melakukan ibadat hanya mengharapkan fadhilat yang dinyatakan. Bagaimana agaknya jika kita melakukan semua amalan-amalan sebagaimana disarankan tetapi terasa tidak mendapat apa yang diimpikan? Apakah sama reaksi apabila diperdaya oleh manusia? Berpatah arang dengan Allah? Waliyazubillah..

         Walaupun Sifat Allah itu sempurna, Memberikan apa yang terbaik untuk kita, namun bukan semua apa yang kita nak Allah akan bagi kerana Dia Maha Tahu apa yang terbaik untuk kita. Nikmat Allah terlalu luas, lebih luas, lebih besar dari fadhilat yang dinyatakan. Dia Maha Pemurah, Maha Penyayang...

         InsyaAllah sahabat, mari kita tingkatkan diri, banyakkan amalan untuk mendekatkan diri pada-Nya kerana tiada erti hidup ini tanpa Allah. Moga kita sentiasa dalam Rahmat-Nya..InsyaAllah..Salam Rejab untuk semua.
Wallahu'alam..

19 Mei 2012

~MeMaHaMi uNTuK MeNDaPaT aPa YaNG Di iMPi~

           Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam ukhuwwah dan salam kasih sayang. Salam kebahagiaan dan salam keceriaan. InsyaAllah, moga hari ini kita menjadi lebih baik dari semalam. Mari berusaha semampunya mencari kebaikan, kerana Allah pasti membantu hamba-Nya yang sentiasa berhajatkan kepada kebenaran. Alhamdulillah, hari ini kita masih dapat menghirup udara segar, mendengar melodi indah ala mini, juga merasai nikmat kasih sayang antara satu sama lain. Paling kita syukuri kita masih dalam nikmat Iman dan Islam, nikmat terbesar untuk seorang hamba di dunia ini. Doa kita saban waktu moga Allah kekalkan kita,saudara,sahabat dan seluruhnya dalam nikmat ini hingga ke hujung nyawa. Juga jangan lupa menitipkan doa moga Allah memberi Taufik Hidayah pada saudara-saudara kita yang belum disapa nikmat Iman dan Islam ini.
          Alhamdulillah, hari ini Allah memberi kesempatan untuk ana ikuti siaran ulangan di Ikim.fm. Alhamdulillah, bermula daripada perkongsian saudara seakidah, Ustaz Ebit Irawan b. Ibrahim Lew yang pernah tersasar kemudian Allah anugerahkan hidayah kepadanya, sehingga kini terasa betapa beliau mensyukuri nikmat tersebut da berusaha menarik orang lain pula kepada Islam. Sesi usrah lepas sudah mendengar kisahnya dari Kak Mas, tapi bila dengar sendiri, Allahuakbar! Allah saja tahu perasaan itu. Dimana agaknya kita disisi-Nya.
         Apa yang ingin ana kupaskan pada entri kali ini adalah berkenaan slot kedua bersama Ustaz Pahrol Mohd. Joi. Seorang Murabbi yang kata-katanya amat menyentuh hati. Ustaz Pahrol seringkali menyentuh hati semua, dan tadi beliau membincangkan bagaimana mahu merasai bahagia dari dalam. Jika sebelum ini, beliau ada menerangkan mengenai pecahan bahagia iaitu, dari luar dan juga bahagia dari dalam. Hakikatnya hari ini, ramai manusia melihat kebahagiaan itu datang dari luar. Dengan itu, ramai mencari harta semahunya, mengejar kemewahan hingga lelah, berbelanja itu ini juga perkara-perkara material yang lain. Akhirnya, disedari apa yang dikejar makin menjauh, hati terasa sesak, dada bagai dihimpit, dan fikiran tidak pernah lapang. Lalu kita mendengar orang membunuh diri disana, putus persahabatan akibat hati yang sakit, keluarga berpecah belah entah kemana dan lain-lain lagi. Gagal mendapat bahagia!
           Tanpa kita sedari, adalah lebih mudah menikmati bahagia dari dalam. Allah berfirman dalam surah Ar Raad: 28 yang bermaksud “Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itu hati akan tenang”. Tenang adalah syarat utama mencapai bahagia. Ingat Allah, itu sumber bahagia. Jalan bahagia bukan perlu dicari dengan akal, tapi Allah dengan sifat Kasih Sayang-Nya Yang Maha Luas telah memberikan kita panduan untuk mencapai bahagia. Bagaimana? ZIKRULLAH!
            Kita seringkali mendengar, apabila susah hati, marah, kecewa, sedih dan sebagainya kita diajar untuk menyebut Ya Latif, Hasbunallahu wani’mal wakiil dan zikir-zikir seumpamanya. Namun realitinya adalah segampang menuturkan zikir itu maka kita akan beroleh ketenangan. Mengapa bila kita berzikir, namun hati masih gagal merasa ketenangan sebagaimana dijanjikan oleh Allah. Hakikatnya tidak semudah itu teman, hanya melafaz dilidah tanpa terjemahan hati dan perbuatan, terlalu jauh tenang yang kita damba itu.
          Kisah popular yang sering kita dengar mengenai keluhan dan aduan juga permintaan puteri kesayangan Rasulullah, Saidatina Fatimah saat kelelahan menguruskan rumahtangga, lalu berhasrat meminta pembantu daripada bapa tercinta. Namun, apa yang Nabi Muhammad berikan? Baginda malah menawarkan sesuatu yang lebih baik daripada itu, iaitu zikir Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Saidatina Fatimah mengamalkan apa yang diberikan dan beliau merasakan keringanan dalam urusan sehariannya. Persoalannya, kini kita mengamalkan zikir yang sama, jumlah yang sama(33x), waktu juga sama(urusan seharian) tapi mengapa kita tidak merasakan apa yang dirasa oleh Saidatina Fatimah?
            Sahabat, zikir tidak hanya boleh dipraktikkan dengan kalimah yang hanya bersifat surface. Zikir perlu diamalkan secara Holistik, Multi Dimensi iaitu meliputi Qauli(perkataan), Qalbi(hati) dan Fi’li(perbuatan). Zikir perlu diamalkan secara bersepadu. Saat kita menyebut kalimah Subhanallah, apa yang terlintas dihati dan fikiran kita. Subhanallah, Maha Suci Allah. Suci yang bagaimana? Maksudnya Allah itu suci dari sudut Zat, Sifat, & Af’al. Adakah kita merasakan kesuciaan itu? Malangnya kita kadangkala tidak merasa Suci Allah itu kerana dilindungi rasa kita ini suci. Walhal, jika ditelusuri asal kejadian kita bermula dari sesuatu yang kotot, berada dalam rahim ibu, dekat dengan tempat najis, lahir kedunia melalui saluran najis, bahkan badan kita penuh dengan najis. Dengan itu kita disuruh bersuci setiap kali menunaikan kewajipan kepada Allah. Bagaimana agaknya keadaan kita jika 3 hari tidak mandi? Masih terfikir bahawa kita suci?
            Bagaimana melihat Maha Suci Allah dari sudut Af’al Allah. Subhanallah, sifat Allah Yang Maha Pengampun, Maha Pemaaf dan sangat cinta kepada kemaafan. Allah menerima hamba-Nya walau segunung dosa dibawa bersama, Sifat Pemaaf Allah melebihi segalanya. Allah tidak pernah tidak Memberi. Tidak Pernah Tidak Mendengar dan Tidak pernah Tidak Mengampunkan hamba-Nya. Sedangkan kita pula sebagai manusia, sesuka hati berdendam dengan orang itu, sakit hati dengan orang ini, sekali buat salah sampai ke mati ingat. Allahuakbar! Allah amat gembira menerima taubat hamba-Nya sehingga Allah member perumpamaan seorang musafir di padang pasir yang kehabisan bekalan juga kehilangan untanya. Putus asa, hilang ikhtiar lalu tertidur. Apabila bangun musafir itu mendapati untanya kembali disisi, juga terdapat makanan untuk dimakan. Boleh bayangkan bagaimana gembiranya musafir itu? Tetapi Allah lebih gembira daripada itu menerima taubat hamba-Nya. Subhanallah!
            Kita lihat bagaimana Allah melihat. Allah melihat hamba-Nya penuh dengan kasih sayang. Walau seringkali sebagai hamba kita melakukan kesilapan, namun Allah tetap memandang dengan Kasih Sayang serta member rahmat kepada semua makhluk-Nya. Bagaimana pula kita melihat? Allahuakbar. Kita melihat jarang sekali dengan kasih sayang, tapi seringkali dengan prasangka, curiga dan hina. Padahal kita tidak kenal pun siapa orang itu, tapi kita melihatnya penuh prasangka. Kita amat pandai menilai orang lain hatta kita tidak tau siapa pun dia. Lihatlah sikap kita, salam dihulur hanya pada orang yang kita kenal, yang kita suka. Sedangkan Allah tidak pernah mengira siapa, semua dipandang dengan penuh kasih sayang. Sayangnya Allah pada hamba-Nya lebih daripada sayangnya seorang ibu kepada anaknya. Allah Maha Kaya, tetapi tidak kedekut, Allah Maha Mengetahui tetapi Allah merahsiakan apa yang Allah Tahu mengenai hamba-Nya. Andai Allah menyingkap tabir kita, terserlah segala keburukan hamba-Nya. Andai Allah ciptakan dosa itu mempunyai bau, adakah yang mahu dekat dengan kita. Subhanallah! Maha Suci Allah!
             Lalu, adakah tindakan kita selaras dengan apa yang kita ucapkan dan apa yang kita akui dengan hati. Adakah tindakan kita mensucikan Allah? Jangan ditanya mengapa bahagia belum menyapa andai syarat menuju kepadanya tidak sempurna. Oleh itu sahabatku sayang, ana mengingatkan diri juga mengajak kalian untuk menjaga hukum Allah, jagalah hati dari sifat mazmumah yang boleh merosakkan amalan. Marilah kita hormat dan sayangkan makhluk lain, kerana kita memerlukan mereka untuk membantu mencapai bahagia. Berhentilah memandang dengan pandangan menghukum dan prasangka. Mari kita sebarkan kasih sayang dan cinta. InsyaAllah, ‘What you give, you get back’. Wallahu’alam.
 
NOTA buat da'ei. Apabila kita sendiri diuji dengan apa yang sering kita dakwahkan, itu petanda Allah sedang mendidik kita agar melaksanakan apa yang kita perkatakan. Bersyukurlah kerana Allah masih sudi mengingati kita dalam usaha kita mengingatkan manusia. -khas buat diri yang faqir ini-